Friday, July 20, 2012

Sistem Fail Bimbingan dan Kaunseling


Pengenalan
Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (B&K) sekolah memainkan peranan penting terutamanya dalam mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara. Perkhidmatan ini juga memerlukan pengurusan yang mantap dan sistematik dalam usaha mencapai hasrat memberikan perkhidmatan yang terbaik. Bagaimana pun tiada bahan rujukan khas atau pun buku panduan yang sesuai digunakan oleh guru bimbingan dan kaunseling dalam memantapkan pengurusan Unit Bimbingan dan Kaunseling terutamanya sistem fail . Berdasarkan pengalaman bertugas selama 7 tahun dalam bidang ini, adalah wajar sumbangan ilmu dan kepakaran dalam mengurus perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dikongsi bersama.

Sistem Fail, Rekod dan Dokumentasi


Bakhtiar (1983) menganggap bahawa tiada satu pun sistem fail dan rekod yang boleh dikatakan sebagai terbaik dan sesuai untuk digunakan di semua bilik bimbingan dan kaunseling. Ada pihak berpendapat, sistem fail akan menambahkan lagi kerja-kerja perkeranian dan ini akan membebankan guru-guru bimbingan dan kaunseling.. Sistem fail yang tersusun dan sistematik akan menyenangkan pengurusan dan pentadbiran guru bimbingan dan kaunseling. Antara kepentingan pengurusan fail ialah :

  1. Surat dan dokumen yang diterima dan diwujudkan hendaklah dikandung dalam fail
  2. Menggunakan kulit fail yang ditetapkan.
  3. Maklumat dikawal dan dicapai dengan cepat dan tepat .
  4. Mesti diurus dengan sistematik mengikut piawaian dan prosedur pengurusan rekod.
Sebagai penyelaras serta urusetia kepada jawatankuasa aktiviti bimbingan dan kaunseling, seorang guru bimbingan dan kaunseling juga hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran di bilik bimbingan dan kaunseling, mengadakan sistem fail, menyimpan rekod, perhubungan awam, surat menyurat, pengelolaan unit bimbingan, pengendalian bahan bercetak, penyediaan laporan aktiviti dan tugas lain yang diarah oleh jawatankuasa Penyelaras Aktiviti, Pengetua, Pegawai Pendidikan Daerah, Negeri dan Kementerian.
Cara menyimpan dan menyusun fail-fail serta rekod perkhidmatan menggambarkan corak kerja guru bimbingan dan kaunseling yang profesional. Sehubungan dengan ini, perlulah ditegaskan iaitu mewujudkan sistem fail dan rekod yang baik merupakan satu langkah untuk mewujudkan infrastruktur bimbingan yang baik dan mantap di sekolah.

No comments: